Dengan lidah terbakar ku suarakan keresahan

Sunday, March 13, 2022

BOLLOK WOK

 


Bollok Wok merupakan kompilasi band-band Terengganu. Seperti namanya, ia cuba menghimpunkan pelbagai genre yang ada dalam scene Terengganu. Dengan tujuan untuk mendokumentasikan scene DIY Terengganu tanpa prejudis muzik.
Bollok Wok 1 lahir pada tahun 2000. Direkod secara live satu hari sama sedas pada 13 Januari di Wee Music (Aku malas je - tagline Wee), Kuala Terengganu. Banyak band dari Kemaman masa ni. Terima kasih Doni Mohd yang push awak-awak Kemaman dan menjayakannya. Ini merupakan rilisan pertama daripada Ronin Records. Dirilis dalam format kaset dan dijual pada harga RM5.
Bollok Wok 2 pula muncul pada tahun 2003. Juga direkod secara live tapi kali ini di M.O.M Studio milik Ku Yie di Plaza Perdana, Kuala Terengganu. Kali ini lebih nampak variasi dalam genre. Tapi penyertaan hanya daripada band Kuala Terengganu belaka. Ini pula adalah rilisan bersama Ronin Recs dan Nervhous Rec. Juga dalam format kaset. Masih lagi pada harga RM5 sekeping.
3 tahun kemudian muncul pula Bollok Wok 3 iaitu pada tahun 2006. Kali ini dirilis dalam format cd oleh 6 label yang dikoordinasi oleh Nervhous Recs. Apa yang menariknya, kali ini ia mendapat penyertaan daripada scene metal iaitu Nosferial. Juga Kelantan based band, Ipoh based band dan KL based band.
Usaha untuk mendokumentasikan scene Terengganu diteruskan dengan terlahirnya Bollok Wok 4. Menampilkan 12 buah band dari seluruh Terengganu. Kali ini diterbitkan dalam format cdr oleh Crysis Recs dan Nervhous Recs.
Di kala covid19 melanda dan PKP dilaksanakan di Malaysia pada 2020, Anix Crisis mencurahkan minyak dan membakar awak-awak untuk membuat semula Bollok Wok. Nampaknya api itu membakar marak dan disambut baik. Namun, beberapa masalah terpaksa dihadapi menyebabkan ia tertangguh agak lama. Kini, Mac 2022 lahirlah Bollok Wok 5. Selain daripada 10 band, ia turut disertai oleh solo act, iaitu Naquib.
Diharapkan projek Bollok Wok ini terus ada kesinambungan pada masa hadapan.




Saturday, March 12, 2022

DEMO KENAL BARANG

 

Tahun 86/87 keeper SK Bukit Tunggal orang gelar dia Duang Lelong. Bekas player Terengganu, Zulharisam Awang pun satu team dengan Duang Lelong ni masa sekolah rendah. Duang Lelong dapat nama sebab ayah dia jual baju (pakaian) lelong di Pekan Batu 6. Dekat dengan sekolah pula, setiap pagi Ahad akan ada pasar minggu. Di situ pun ada orang jual baju lelong. Masa sekolah rendah biasa saya beli baju lelong dekat pasar minggu tu je. Nak pergi Batu 6 ajak jauh pada waktu itu. 

Masa tu biasa kalau beli pakaian lelong, kita beli seluar jeans, seluar trek atau baju sejuk (sweater/windbreaker). Nak beli baru tak mampu. Sebab Terengganu ada musim tengkujuh, jadi seluar trek dan baju sejuk tu satu item yang laris juga waktu itu. Tshirt pula tak beli sangat. Mungkin sebab tshirt baru masih mampu dibeli waktu itu. 

Masa sekolah menengah (terutama form 3 - form 5), entah kenapa scene lelong ni tak ada sangat dalam hidup masa tu walaupun tau dekat Tanjung scenenya lebih besar. Sebab jauh lah kot. Akhir tahun 90-an barulah saya tau istilah bundle. Itu pun sebab 'bersaing' dengan kaki bundle. Barulah tahu membelek tshirt. Baru kenal Hanes dan lain lain. 2004 baru tau istilah menyelam bila bergaul dengan geng-geng Dungun. 

*******

Buku ini memang bercerita pasal bundle. Takde twist ke lain, tak ada pancing pancing tajuk macam buku kedua beliau yang bakal terbit. Out soon orang kata. Sesuai juga untuk pemula. Banyak istilah-istilah yang dipercerahkan. Sejarah dan semuanyalah. Dengan harga RM25, dari kulit depan, isi dan kulit belakang warna warni, free postage, apa lagi yang kau nak. Memang worth your hard-earn money - frasa yang selalu kita jumpa dan zine dulu-dulu. Saiz font pun kecik halus remuk, juga macam zine dulu-dulu. Layout yang sangat familiar, macam satu majalah tahun 2000-an. Rupanya dibuat oleh Irman Damage Digital. 

Itu sahajalah nak cerita pasal buku ini. Sebab tak baca habis lagi.

Saturday, July 25, 2020

Yang Tertangguh

Ingat tadi nak update post baru. Sekali tengok dah ada 10 drafts. Banyak betul kerja tertangguh. Ada yang dah siap separuh jalan. Entah kenapa tak sempat publish. Mungkin tak ada idea. Atau kebetulan ada hal lain waktu tu. Jadi terbengkalailah ia. Ada juga yang sempat taip ayat pertama sahaja. Bahkan ada yang punya tajuk sahaja. Lebih teruk, kosong terus. Tak ada isi, tak ada tajuk. Tapi tetap tersimpan dekat draft. Jadi, di sini saya gabunglah kesemua tu. Biarpun penulisan tak habis, pandai-pandai kau lah agak apa ending dia. Biar kau pulak yang fikir kesudahannya. Kesudahan yang boleh jadi macam-macam.

Draf 1
Buat kerja bertangguh itu tak elok. Tapi, betul ke buat kerja last minit ni merugikan? Barangkali ada keuntungan di sebaliknya, siapa tahu? Ada udang di sebalik batu?

Situasi 1
Biasa terjadi kepada pemilik kenderaan, kalau rosak sikit-sikit, dibiarkannya dulu. Boleh guna lagi katanya. Atau duit nak guna untuk perkara lain dulu. Bila rosak sikit lagi, dibiarkannya lagi. Tak ada bajet katanya. Bila dah rosak teruk, baru ada akai. Berhutang, bergadai. Tapi, ada juga yang jenis, dah susah-susah sangat, tukar yang baru je lah.Ini pun biasa terjadi juga. Bagi yang ada kuasalah.

Situasi 2
Ini cerita di kampung saya. Kampung saya ada pantai. Pantai Teluk Lipat. Gambar di bawah ni diambil beberapa tahun yang lalu. Agak cantik juga la. Menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar. Menjadi tempat bagi acara tahunan lagi kemuncak bagi GP Joran. Namun, saban tahun, terutama musim tengkujuh, sedikit demi sedikit pantai ni terhakis. Aku mula bermastautin di sini pada tahun 2004. Di tepi pantai ada warung jual mi sup, mi kari. Beberapa tahun selepas itu, mereka kena pindah ke seberang jalan kerana pantai semakin terhakis.



Draf 2
Aku sampai di Dungun pada tahun 2004. Dan Dungun tak ada Maybank. Ini hal lari dari kebiasaan. Mana-mana bandar, hatta kebanyakan pekan pun biasanya ada bank ni. Tapi Dungun tak ada. Persoalannya, kenapa?

Ok, sebelum tu, sebenarnya aku tak ada akaun Maybank. Tapi, bila ada urusan yang memerlukan aku masukkan duit ke akaun seseorang, mereka memberikan nombor akaun Maybank. Ini memang menyusahkan. Dan Maybank terdekat terletak di Paka, sebuah pekan dalam daerah Dungun. Dah lama wujud Maybank di Paka, tetapi kenapa tiada di Dungun? Koman sangat ke Dungun?


Draf 3
Dear comrades and ploretariat (Kau boleh agak tak ia berkenaan dengan apa?)

Draf 4
Apo ko bondo eh tu? Mind your own business. Kata orang Melayu, “jaga tepi kain sendiri lah! Jangan jaga tepi kain orang”. Hal ini aku dah sentuh dalam DRSA dulu. Kalau tak silap dalam keluaran ke-2, pada akhir tahun 90-an. Masa tu kalau tak silap aku si Kancil atau si Kapchai (Esteem zine) dan Zax (TSAB zine) pun turut memberi pendapat mereka. Itu dulu. Sedekad yang lalu.
Aku turut bersimpati dengan peninggalan Alm Nurin. Takziah diucapkan kepada keluarganya. Tabahkan hati. Yang masih hidup mesti teruskan kehidupan.


Tiba-tiba semua orang – bijak pandai, para sarjana, pemimpin kembali memperkatakan mengenai hidup bermasyarakat, yang seolah-olah kita semua melupakannya sehingga semalam. Hari ini baru kita teringat kembali. Ada yang mengatakan walaupun kita hidup di zaman yang moden dan maju, kita perlu ada sikap kekampungan (aku harap anda faham apa maksudnya tu). Ada pula yang mengatakan kita perlu juga menjaga tepi kain orang. Dan macam-macam pendapat lagi.


Hah! Itulah dia orang kita. Tak pernah nak belajar daripada kejadian lepas. Tapi sebenarnya bukan tak belajar. Belajar. Tapi sikap orang kita ni jenis yang tak beramal. Ilmu ada, malas nak beramal. Insiden seperti yang berlaku kepada Alm Nurin bukan baru pertama kali berlaku. Dah banyak kali. Tetapi sikap orang kita ni, terutama orang-orang tinggi di atas sana nun saling tak tumpah seperti tukul dengan pemahat. Aku rasa nak salahkan orang kita 100% tak boleh jugak. Mungkin orang kita dah berjaga-jaga. Tapi apa sangat yang orang kita boleh buat. Lain lah kalau orang kat atas sana nun. Dulu selepas kes Alm Nurul Huda di Johor, kita pun dah kecoh. Ada yang kata nak gubal undang-undang itu la, nak buat peraturan ini lah, itu ini, begitu, begini. Piirah! Habuk pun tarak. Tup-tup kejadian yang sama berlaku lagi. Nah! Orang yang sama bergebang lagi. Nak gubal itu, nak tubuh ini. Ini apa ni? Takke macam tukul dengan pahat tu? Sekali ketuk sekali masuk. Kalau tukul dengan pahat tu ada juga lah masuknya walaupun sekali sekala, taklah sampai tercabut. Ini tidak bunyi je bising. Iklan je lebih.


Cuba anda belek kembali bajet 2008 baru-baru ini. Ada ke diperuntukkan untuk menangani gejala sosial? Berapa peratus? Dengan kadar jenayah yang semakin meningkat. Alamak! Dah penat lah membebel pasal ni. Korang sambung lah pulak

Draf 5
Betullah apa orang kata, dulu lain sekarang lain. Dulu di tempat aku, di Kuala Terengganu, kenduri kahwin, dan lain-lain kenduri biasanya dibuat pada hari Jumaat (kerana Jumaat hari cuti). Atau setidak-tidaknya hari Khamis (Khamis kerja setengah hari waktu tu). Sekarang ni kalau satu keluarga dapat buat kenduri pada hari Jumaat atau Khamis memang bertuah. (harus diingat, ini cerita musim cuti sekolah sahaja, tidak ada kena-mengena dengan musim atau pian lain)

Friday, July 03, 2020

THE BOLLOCKS

No description available.
Ini antara band yang memang patut dibuat tribute selain Carburetor Dung dan ACAB. Band asal Kuala Pilah ini sejak kemunculan pertama pada tahun 94 dengan demo My Friend telah mendapat perhatian mamat Perancis, Luk Haas yang kemudiannya meriliskannya dalam bentuk piring hitam. 

The Bollocks memang benar benar membawa revolusi dengan ep Revolution mereka. Dengan kaset pro-release, mereka benar benar memperjuangkan falsafah diy (bukanlah kata orang lain tak benar) dengan tagline PAY NO MORE THAN RM3 pada kaset mereka. Ia seterusnya membuka mata para scenester tempatan yang kemudiannya banyak mengeluarkan ep/album pro release pada harga anti kapitalis. 

Malah ep Revolution mereka pernah dicetak rompak berkali kali. Kalau tak silap ep revolution ini keluar pada tahun 97. Saya pula yang pada masa itu jahil ilmu silkscreen (dahlah tak ambik psv masa sekolah) telah memfotostat cover Revolution dengan membesarkan imej ke saiz A4, dan melekatkannya pada kad manila. Kemudian potong mengikut imej. Beli tshirt kosong dan tc dye RM2, kemudian dye baju tersebut dengan span. Fuh, gila bangga pakai baju konon konon cetak sendiri. Begitulah antara pengaruh the Bollocks. 

Tahun 2003 keluar flyer dalam gambar ni, memanggil band band tempatan untuk cover tribute buat the Bollocks. Kasih Sayang turut mengambil bahagian dengan mengcover lagu The Bitch dari demo My Friend. Malah kami turut membuat tshirt Kasih Sayang - The Bitch yang saya masih pakai sehingga hari ini (terutama setiap Selasa sebagai inner baju no. 3 PKBM), yang telahpun tertanggal dye. Kali ini betul betul silkscreen. Itu pun kawan yang tolong buat. 

Malangnya tribute tersebut tak keluar keluar. Tak tahu apa masalah. Kini, di musim pkp, musim orang banyak masa ni, Jimbo membuka balik folder tribute ini dan kembali bersemangat untuk merealisasikannya. Malang sekali lagi kerana lagu Kasih Sayang telah hilang. Tak apalah. Yang penting projek ini jalan terus. UP THE BOLLOCKS

Friday, September 09, 2016

Mengetuk dulang, paku serpih
Mengata orang, kita yang lebih
Macam itulah kita. Banyak sangat duk mengata orang itu ini, komen orang begitu begini; yang kadang kala kita pun sama juga, bahkan lebih lagi.
Menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri.

Image result for MENGATA DULANG PAKU SERPIH

*sumber gambar : google imej

Thursday, September 08, 2016

5 SOALAN BERSAMA LOT BUKU



1.MACAM MANA BOLEH TIMBUL IDEA NAK BUAT LOT BUKU?
>>Minat barangkali. Entah sama ke tidak dengan passion. Kalau dulu aku buat Ronin Distro untuk mempelbagaikan bahan buat scene KT khususnya, untuk memudahkan mereka mendapatkan bahan luar. Lebih kurang sama juga halnya dengan Lot Buku. Aku cuba cari buku-buku yang tiada di kedai buku berhampiran untuk disajikan kepada pembaca. Juga dengan niat untuk mempelbagaikan bahan bacaan.

2.DI LOT BUKU BANYAK BUKU DARI INDONESIA KAN. TAK CUBA BAWAK MASUK BUKU DARI EROPAH?
>>Bukan tak cuba. Tapi postagenya sangat mahal. Aku tak sanggup jual buku mahal-mahal. Satu-satunya buku yang aku berjaya bawa masuk dan jual ialah SOBER LIVING FOR THE REVOLUTION. Itu pun aku kirim melalui suami member yang kebetulan ada kerja di Amerika. Dia tanya aku, ada nak kirim apa-apa tak? Si anu kirim seluar levi's, si anu kirim handbag, aku selamba cakap nak kirim buku. Risau juga aku takut tak terjual. Ye lah, 20USD dah jadi RM80. Nasib baik habis jual masa zine fest tahun lepas. Sebab tu aku rasa kita kena terbitkan kembali buku-buku dari sana. Itu lebih menjimatkan kos. Ya, kita. Kalau bukan kita, siapa lagi? Hahaha.

3.JUALAN OK KE?
>>Jualan naik turun juga. Bergantung kepada judul buku. Nak kata ok tu takde la sangat. Tapi setakat ni aku puas la walaupun bukan ada order tiap-tiap hari (sebab tu aku tak berani buka kedai). Ye la, aku buat ni pun sebagai hobi. Saja menyibukkan diri. Aku rasa minat membaca di kalangan masyarakat tu ada. Mungkin semakin berkembang. Cuma secara relatif dengan jumlah penduduk tu masih lagi kecil. Boleh pergi lagi ni.

4.SELAIN JUAL BUKU, ADA BUAT PROJEK LAIN?
>>Ramai juga yang suruh aku tulis zine balik. Entahlah. Aku rasa semakin tua semakin tak pandai menulis. Aku rasa tak pandai dalam banyak hal, banyak isu. Sebab tu sekarang ni aku lebih selesa membaca berbanding menulis. Minat tu masih ada. Tengoklah nanti macam mana. Tak berani nak bagi harapan. haha. Selain itu, sebagaimana yang sesetengahnya dah tahu, Lot Buku turut serta dalam Kolektif KIDAL. Jadi, tunggu je lah terbitan-terbitan Kidal selepas ni. smile emoticon

5.APA TARGET ATAU CITA CITA LOT BUKU? SELAIN JUAL ONLINE, ADA PLAN NAK BUKAK KEDAI BUKU TAHUN 2020 KE MISALNYA.
>>Bercakap pasal masa depan ni takut juga. Awalnya aku menjangkakan Lot Buku tak kekal lama bersama aku. Aku rancang nak pass pada kawan. Aku buka jalan, orang lain sambung. Itulah perancangan awal. Dah cerita tadi pasal nak buka kedai. Cita-cita ada. Selebihnya masa yang akan menentukan. Selebihnya lagi biarlah aku sahaja yang tahu.

Saturday, February 13, 2016

Gimme Gimme Shock Treatment - The Ramones

Hidup kita ni selalu sangat syok sendiri. Kita buat apa yang kita suka. Dan jarang pula kita ambik tahu apa yang orang rasa. Setelah bertahun-tahun mengajar, ini kali kedua aku cuba untuk tahu apa yang pelajar rasa tentang aku. Untuk itu, untuk tidak bias, aku minta tolong Abam Bear menanyakan soalan kepada pelajar. Dan berulang kali aku tekankan, jawablah sejujurnya. Aku berharap ada sesuatu yang negative, supaya aku dapat betulkan, atau cuba perbaiki. Tapi.. tulah.




1) Mengikut pemerhatian kamu, adakah kamu rasakan cikgu Fazri mempunyai teknik pengajaran yang sedikit berbeza dari cikgu-cikgu yang lain? Kalau ada sila nyatakan.
Umie: Bagi saya, cara pengajaran cikgu Fazri sedikit berbeza dari cikgu-cikgu lain kerana cara pengajaran cikgu Fazri tidak terlalu serius dan tidak terlalu memaksa sehingga menyebabkan saya dan kawan-kawan menjadi stress. Cara cikgu Fazri mengajar seolah-olah belajar sambil merehatkan minda kerana dalam pembelajaran bersama cikgu Fazri tetap ada gelak tawa kawan-kawan sekelas.
Kyra: Iye..saya rasa cikgu Fazri berbeza dari cikgu lain sebab cikgu mulanya memang nampak garang dan mussang gitu.. padahal, cikgu yang paling the best sekali.. Cara cikgu mengajar saya dengan kawan-kawan memang lain dari yang  lain.. Lain macam mana tu saya tak reti nak huraikan..
Ruby:  YA, Cg Fazri mempunyai teknik pengajaran yang sedikit berbeza dari cikgu-cikgu lain dari segi kelas tambahan. Beliau sangat cekap dan laju untuk merebut peluang kelas tambahan berbanding cikgu-cikgu lain dan sanggup melakukan kelas berjam-jam apalagi selalu lebih dari waktu yang ditetapkan. Beliau juga ada ajar teknik-teknik dalam akaun yang mudah yang pada pendapat saya cikgu-cikgu akaun yang lain pun tidak berbuat sedemikian. 



2)Bagaimana kalau saya katakan Cikgu Fazri itu seorang Punk? Adakah kamu percaya? Apakah definasi kamu tentang Punk?
Umie: Bagi saya, cikgu Fazri bukan seorang yang Punk, kerana pada pandangan saya, Punk tu seorang yang ganas dari segi pemakaian dan tatasusila. Dan seorang Punk seperti seorang Rockers dan cikgu Fazri bagi saya hanya seorang cikgu yang mengajar saya dan seorang rakan yang mudah di ajak bersembang di luar sekolah.
Kyra: Ye saya percaya, sebab ada cg cerita masa tu.. Dan saya dah tengok gambar cg dah masa tu.. Berbeza sangat.. tapi cool dengan bersubangnya..huhuhu.
Ruby: Jujur saya mengaku yang saya pernah percaya dengan cerita bahawa Cg Fazri ialah seorang punk. Sebab melihat dari ciri-ciri fizikalnya seperti seorang rocker yang sesuai untuk jadi seorang punk. Tapi saya buat tak tahu je kerana mungkin itu cerita dulu. Apa yang penting sekarang dia seorang pendidik. Dan akhirnya, kebenaran terungkap dengan cerita-cerita beliau terhadap saya dan member class bahawa punk yang dimaksudkan ialah aktiviti kebajikan, kalau tak silap la......
Syahira: : Hmmm.. percaya kot sebab saya pun ada dengor gossip-gosip pasal cg Fazri ni dulu seorang punk.. Pada pandangan saya seseorang yang menyertai punk tak semestinya orang tak dop masa depan.. Bergantungla pada kumpulan punk yang disertai sama ada baik atau sebaliknya..

3)Apakah yang kamu tahu tentang sub-budaya Underground?
Umie: Saya tidak tahu tentang sub-budaya Underground.
Kyra: Saya tahu sikit-sikit je.. Saya kenal dengan black metal je.. Tapi kumpulan cg tu tak nampak black metal po.. huhu.. Nampak baik.. Sebab saya tengok dalam gambo tu lah..Bagi makanan dekat orang..
Ruby: Maaf, saya tak tahu tentang sub-budaya underground.. =D
Syahirah: Underground yang saya tahu ialah muzik yang kasar, bising dan ganas kot macam punk, dan metal..(tapi saye pun tak berape pasti)



4)Adakah kamu percaya yang Cikgu Fazri pernah terlibat dengan muzik Underground suatu masa dahulu?
Umie: Saya percaya bahawa cikgu Fazri pernah terlibat dengan muzik underground pada suatu masa dahulu kerana dia pandai dalam bermain gitarnya.
Kyra: Memang mulanya saya tak percaya. Selepas cg cerita.. saya percayalah dengan ada gambarnya..hehe
Ruby: Walaupun saya tidak tahu tentang muzik underground.. Tetapi, dengan perkataan "muzik" saya boleh percaya dan agak cikgu Fazri boleh jadi pernah buat persembahan nyanyian. Guitarist dan rocker juga mungkin.
Syahirah: Hmm..mungkin (sebab cg Fazri tak pernah bercerita pun pasal hal ni) jadi saya buat spekulasi senderi la yang cg Fazri mugkin pernah terlibat dengan muzik underground ni suatu masa dahulu..

5)Jika dilihat dari penampilan luar Cikgu Fazri, bagaimanakah kamu boleh cuba menafsirkan beliau? Dan adakah kamu rasakan tafsiran kamu itu mengena?
Umie: Jika dilihat penampilannya dari luar, saya merasakan dia seorang yang garang kerana sikapnya yang dingin dan susah untuk memberikan senyuman, tetapi setelah saya mula mengenalinya dengan lebih dekat, semua tafsiran saya itu salah, kerana dia seorang yang peramah dan mesra bersama semua orang terutama anak muridnya.
Kyra: Mulanya saya rasa cg ni garang dan mussang, tak suka orang.. tak suka murid-murid.. Macam anti la murid-murid.. Sebab kebiasaan cg SO kan ada anti murid-murid. Sebab sekolah SO ni kan dianggap sekolah teruk.. tak macam sekolah lain.. Gitu la.. Rupa-rupanya tak..Cikge sporting..dan bertanggungjawab .Saya suka cara cg dengan anak-anak cg.. mulanya saya datang rumah cg..tengok anak-anak cg..manja dengan cg.  Saya rasa tak caya cg yang saya anggap lain.. Rupanya jauh beza dari yang saya anggap tu.. Sebab tu la setiap kali cg lain marah-marah kita sekelas.. sokmo seru (panggil) nama cg.. Cg Fazri tak gini.. Cg Fazri lain.. Sedap cg Fazri lagi.. Semuanya bandinagkan cg Fazri. Dan semuanya pasal baik-baik..Saya bukanlah nak puji ataupun cg anggap saya nak ambik hati cg.. Saya bagi tahu mende betul ..
Ruby:  Melihat dari penampilannya semasa pertama kali dia masuk ke kelas sangat menakutkan. Dari muka yang kadang senyum kadang tak dan nampak sedikit ganas. Dengan cerita tentang "punk" yang membuatkan saya pernah terfikir adakah beliau terikut-ikut dengan budaya barat? Sehinggalah diceritakan tentang yang sebenarnya.
Syahirah: Yang ni soalan fav saya.. Hmm kalau tengok pada penampilan cg Fazri mula-mula memang nampok macam orang yang garang, tegas, tak mesra dan tak banyok cakap.. Senang kata,  susah nak rapat la dengan dia.. Nak nampok cg Fazri senyum kat orang yang dia tak kenal pun susah.. Tapi tafsiran saya saloh la.. Sebenarnya cg Fazri ni seorang yang mesra, baik dan caring la pasal student-student dia (saya hargai semua jasa dan pengorbanan cg sepanjang bagi ilmu dekat saya dan sabar dengan perangai saya.. Saya tahu saya banyok buat cg sakit hati.. saye mintok maaf)

6)Cikgu Fazri adalah seorang yang berjiwa muda (mungkin), oleh kerana kamu adalah seorang murid sudah tentu juga kamu seorang yang muda. Soalannya, adakah kamu senang berkawan dan bergaul dengan beliau?
Umie: Saya teramatlah senang bergaul dan berkawan dengan beliau kerana walaupun beliau seorang pendidik, tetapi beliau tetap berfikiran seperti anak muridnya, beliau tidak terlalu serius dalam sesuatu perkara dan semua perkara kebanyakkan hanya lah bergurah senda.
Kyra: Sebenarnya memag cg berjiwa mude pun bagi saya. Hehe.. Sebab keluor dengan budak-budak kelas.. tengop bola.  Rela bangun (awal pagi) sebab bola... Memang the best lah.. Faham perasaan budak-budak. Saya tak tahu macam mana cg ambil hati saya dengan kawan-kawan sampai kita orang sayang sangat cg..
Ni lari dari soalanlah.. Hehe.. Cg memang cg terbaik la pernah saya belajar.. Cg baik sangat.. Cg faham keadaan saya.. Walaupun ada la cg marah-marah kat saya.. Terima kaseh sangat.. Saya memang takde ape-apa nak balas jasa cg.. Cuma dapat ucapkan terima kasih jelah.. Terima kasih banyak-banyak sebab mengajar saya.. Bagi saya tuisyen.. Faham masalah saya.. Terima kaseh cg.. Saya bagi tahu ni ikhlas dari hati.. Cg lain tak pernah buat macam ni kat saya.. Cg je.. Terima kasih sangat cg..
Ruby: Ya sememangnya berjiwa muda. Semakin lama dengan beliau dalam sesi pembelajaran macam-macam perkara diceritakan. Apalagi satu fikiran tentang bola dengan budak-budak lelaki classmate. Memang boring. Diajak lepak tak kisah. Diajak berbual tak kisah. Diajak buat lawak tak kisah. Tapi ada masa main, main laa.. ada masa belajar, belajar lah ye. Menjadi tempat luahan tentang perkara yang terjadi kat kiteorang satu classmate pun tak kisah. Beliau selalu dengar dan layan kerenah kiteorang. Dalam banyak-banyak cikgu honestly memang senang berkawan dan berguru dengannya. Bagi saya, cikgu ni unik laaa. ada ke cikgu lain macam cikgu ? Macam-macam hal kot beliau buat. Macam-macam aktiviti. Dan insyaAllah semuanya hal baik-baik.
# Pelbagai tanggapan tentang cikgu. Tapi tak semuanya benar. So, Dont judge the book by its cover and if you dont know it please dont guest it because you might be wrong about that. And of course, dont trust rumours. Lebih baik tanya dengan tuan empunya badan untuk kesahihan sesuatu cerita. Ini luahan dari hati. Sorry cikgu kalau terasa. :)
Syahirah: Saya senang berkawan dengan cg Fazri mungkin sebab dia seorang yang memahami jiwa student-student dia yang muda (mungkin sebab cg pun berjiwa muda) Ini saje jawapan dari saye.. Ikhlas dari hati ni.


Berikut adalah jawapan wakil pelajar lelaki. Dijawab oleh Afiq. Tapi agak keliru juga. Katanya hanya menjawab soalan 6. Entah kena entah tidak dengan soalan.

Assalamualaikum..
û  Mood yang tidak menentu – tapi itu sudah menjadi lumrah seorang manusia mempunyai ‘mood’ yang selalu berubah. Kadang-kadang Encik Fazri melangkah masuk ke kelas dengan menampakkan riak wajahnya murung ataupun masam mencuka maka suasana kelas akan menjadi sunyi, yang kedengaran hanyalah kipas usang di syiling. Yang bercerita bagai nak rak menjadi kaku bisu tiba-tiba, yang lewat masuk ke dalam kelas tunduk tanpa berbicara, yang menyandang jawatan ketua kelas terketar-ketar bagaikan cili dicolet ke mulut untuk memberi salam. Suasana kelas akan terus sunyi sehinggalah Encik Fazri sudah mula tersenyum lalu membuat jenaka dan suasana kelas akan terus berubah menjadi bising seperti wartawan-wartawan yang sedang menemu ramah artis popular. Hal ini yang menyebabkan kami senang berguru dengan beliau.

û  Mempunyai minat yang sama dengan pelajar lelaki – tiap kali perlawanan EPL masing-masing saling mengingati maka riuh group whatsapp. Keesokan harinya , pasukan pilihan yang kalah akan diperlekehkan. Encik Fazri apabila bercakap tentang bola sepak pasti akan menyebut nama pasukan pilihan beliau iaitu Liverpool.

û  Dahulu semasa awal kemasukan kami ke Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Omar, kami takut untuk menegur Encik Fazri mungkin kerana riak wajahnya yang garang. Bahkan apabila terserempak ada yang cuba mengelak. Kami menyangkakan bahawa Encik Fazri seorang yang garang , rupanya tafsiran kami salah sehinggalah kami kenal dengan beliau semasa beliau ditugaskan untuk mengajar kami subjek Prinsip Perakaunan. Benarlah bak peribahasa tak kenal maka tak cinta.

û  Encik Fazri seorang guru yang tegas. Setiap kali diberikan tugasan jikalau pelajarnya tidak Berjaya menyiapkan mengikut waktu yang ditetapkan, maka hukuman akan dijalankan. Tapi kami tahu bukan niat beliau untuk menghukum tetapi beliau mengajar kami untuk melakukan kerja mengikut masa yang ditetapkan. Dalam menghukum, beliau masih lagi tersenyum dan ada saja yang keluar dari mulut beliau yang dapat menyenangkan hati kami. Beliau amat berbeza berbanding dengan guru-guru yang lain yang membuatkan kami selesa bergaul dengan beliau.

û  Seorang yang pemalu, tetapi apabila beliau membuka mulut maka hilanglah tanggapan yang mengatakan bahawa beliau seorang pemalu.

û  Berfikiran terbuka yang membuatkan kami senang dan suka berkawan serta menceritakan apa-apa perkara kepada beliau.

û  Selalu menegur kami sekiranya sering melakukan kesalahan. Beliau juga bersungguh-sungguh dalam menyebarkan ilmu kepada anak didiknya tanpa mengeluh. Mengajarkan kami sesuatu yang tidak faham sehinggalah faham. Ini memudahkan untuk bertanyakan soalan kepada beliau.



û  Kami berharap kami akan berjumpa lagi dengan beliau di kemudian hari dan tidak akan melupakan jasa dan ilmu yang telah diterapkan kepada kami. Tiada guru lain yang dapat menggantikan tempat beliau.