Dengan lidah terbakar ku suarakan keresahan

Wednesday, June 20, 2007

Sembang Pak Alang

Berikut ialah interview oleh Saudara Aniq yang telah dimasukkan ke dalam zine beliau, Masked Rider.

S: Assalamualaikum Fazri. Apa khabar? Bagaimana kehidupan selepas kahwin? Sila berikan sedikit kata-kata manis.
J: Waalaikumussalam wbt. Aku alhamdulillah sihat. Terima kasih. Kehidupan selepas kahwin ok, baik. Bak kata Datuk SM Salim, dulu lain, sekarang lain, dahulu bujang sekarang dah kahwin. Dulu makan sorang sekarang makan berdua. Tak lama lagi makan bertiga, InsyaAllah. Kata-kata manis? Apa ye? Kepada sesiapa yang belum kahwin tu dan mampu, kahwinlah kamu. Seronok dan mencabar. Yang belum mampu tu, mampu-mampukanlah diri kamu. Keindahan ada di sana haha..

S: Apa berita terbaruDRSA, Kasih Sayang, the Coalition zine dan Community Collective Coalition?
J: Berita terbaru, DRSA #7 akan keluar, tapi tak tahu lagi bulan berapa. Dah lama nak keluar tapi tak keluar keluar lagi. Overdue. Kalau ibu mengandung bahaya overdue ni. Nanti banyak komplikasi. Kalau buat zine ni pun bahaya gak overdue. Takut dah hilang mood dan ghairah nak siapkannya. Kali ni DRSA akan keluar dalam Bahasa Melayu. Sebabnya? Aku dah terlibat dengan Coalition yang dibuat dalam BI, jadi DRSA aku buat dalam BM lak. Kena praktis dua-dua kan? Kasih Sayang pulak agak perlahan dan kurang aktif sekarang. Ini disebabkan kami sukar untuk meluangkan masa bersama. Pun begitu, kami ada merekod lagu baru. Tapi cuma gitar dan bass. Drum dan vocal belum masuk lagi. Tak tahulah bila nak siapnya. Tunggu dan lihat saja. Coalition yang terbaru # 6 berada di pasaran. Boleh dapatkan daripada Nizang dan aku. Sepatutnya zine ni keluar 3 kali setahun. Tetapi disebabkan masing-masing sibuk, ia hanya akan keluar bila dah cukup material dan cukup masa untuk menyiapkannya. Sudah tidak ada time line. Community Coalition Collective sebenarnya, bukan Community Collective Coalition. Kolektif ini pun dah tak aktif sebenarnya. Ia tidak dibubarkan secara rasmi. Tapi secara zahirnya macam dah tak ada. Tapi boleh jadi ada. Macam baru-baru ni (Disember 2005 sebenarnya) Kami organize satu gig kat Dungun. Tapi, anggap sajalah tak ada. Ia akan ada bila ada sesuatu. Faham-faham sendirilah ye.

S: Penutupan A//Mince Studio/Infoshop memberi kesan kepada scene Terengganu. Apa pandangan anda? Apa ramalan anda untuk scene Terengganu dalam masa 10 tahun akan datang?
J: Itu mungkin benar. Kerana ghalibnya manusia memerlukan tempat untuk bersosial, bersua muka, bertanya khabar, hatta melepak sekalipun. Dan di situlah mereka bergurau senda, bercanggah pendapat yang akhirnya mereka bertikam lidah, bahkan membuka peluang untuk lahirnya idea-idea baru, merancang aktiviti-aktiviti untuk diri mereka dan mungkin juga untuk orang lain. Tidak kira di mana tempatnya – di kedai kopi, di sebuah wakaf di tepi kubur atau di mana-mana sahaja. Itulah peranan A//Mince Studio/Infoshop. Itulah niat ia ditubuhkan. Dan semenjak kewujudannya ia berjaya memainkan peranannya dengan baik. Lahirnya pelbagai band dan pelbagai aktiviti yang berkaitan. Maka, apabila A//Mince Studio/Infoshop ditutup, keadaannya seperti anak ayam kehilangan ibu. Berterabur. Pengunjungnya atau lebih tepat, kaki lepaknya mula berpecah dan mencari haluan masing-masing. Mereka mencari ‘port’ baru, malah ada yang meninggalkan terus aktiviti-aktiviti mereka. Itulah yang terjadi. Tetapi ‘rumah’ kita bukan kecil. Rumah kita terang benderang kerana banyak lampu. A//Mince Studio/Infoshop ibarat salah satu lampu di rumah kita. Walaupun satu terbakar, lampu-lampu lain masih mampu menerangi rumah. Dan lambat laun lampu yang terbakar itu akan diganti dengan lampu baru. Begitulah perumpamaannya. Kawan-kawan lain yang tidak dipengaruhi oleh kewujudan A//Mince pun ramai. Sepatutnya ketiadaan A//Mince tidak menjadi masalah kepada scene Terengganu, melainkan kepada orang-orang yang selalu lepak di situ.Tetapi bagi aku, A//Mince meninggalkan satu ‘legacy’. Rasanya tidak keterlaluan kalau aku samakan A//Mince dengan CM awal tahun 90-an. Aku tak dapat ramal scene Terengganu dalam masa 10 tahun lagi. Dan aku malas nak bayangkan macammana rupanya J. Biarlah masa yang menetukan. Aku percaya kata orang ‘patah tumbuh, hilang berganti’. Tapi yang tumbuh tu tak sama dengan yang asal. Keadaan dan ‘iklim’ akan membezakannya.

S: DRSA banyak berbicara pasal politik. Kenapa?
J: Betul ke? Kerana politik itulah kehidupan. Itulah yang kita jumpa, nampak dan dengar nak-nak hari. Itu yang kita lalui dan kita rasakannya. Aku lebih suka bercakap apa yang aku tahu, yang aku nampak, yang nyata. Aku tak pandai nak bercereka. Aku bukan penglipur lara (setakat hari ini la. Esok-esok tak tau la).


S: Stuff-stuff sekarang ni tidak 100% DIY. Betul ke?
J: Baiklah, apa maksud DIY sebenarnya. Buat sendiri, kan? Manusia ni lemah. Kebolehan kita terhad. Kita tak boleh buat semuanya sendiri dari a hingga z. Kita tak ‘pandai’ nak buat semuanya. Kita kena juga minta tolong daripada kawan-kawan atau orang lain. Sebab kepandaian manusia ni berbeza. Tapi pada aku, minta tolong kawan atau pihak lain buat sebahagiannya, bukanlah bermaksud tidak 100% DIY. Yang pentingnya kita mempunyai ‘total control’ ke atas apa yang kita buat. Dulu pun, misalnya dalam pembikinan zine dan demo tape, kertas, fotostat, pita kaset, bukannya kita buat sendiri. Tapi ia masih lagi DIY. Sama juga kalau kita pergi ke pasaraya besar, mereka ada ruang untuk barang-barang atau perkakasan yang juga dipanggil DIY. Kita beli perkakasan tu dan pasang sendiri di rumah. Itu juga DIY kan? Samalah keadaannya dengan stuff-stuff kita sekarang ni. Pada aku ia tetap DIY. Zaman semakin maju. Jadi, apa salahnya kita gunakan kemajuan tu untuk mencantikkan lagi produk kita. Amacam, berani?

S: Komen anda tentang kebebasan?
J: Semua orang mahukan kebebasan. Itu keinginan semulajadi manusia dan itu salah satu hak asasi manusia. Kita perlukan kebebasan. Tetapi, bebas setara mana pun, jangan sampai menyusahkan orang lain.

S: Masyarakat memandang serong hc/punk. Salah siapa eh?
J: Sebenarnya yang salah bukan hc/punk. Tapi segelintir orang yang ‘nampak’ macam budak hc/punk yang buat salah. Jadi masyarakat akan menuduh hc/punk itu penyebabnya. Manusia secara kasarnya memang suka dengan pandangan induktif. Suka menggeneralisasikan sesuatu perkara. Samalah macam pengganas yang sinonim dengan Islam. Sedangkan Islam tidak mengajar pengikutnya bertindak ganas. Nampak tak kaitannya? Biasanya orang tak nampak kesalahan diri sendiri. Jadi lebih baik kita perbetulkan keadaan daripada mencari siapa yang salah. Yakinlah dengan apa yang anda buat. Kebenaran tetap kebenaran.

S: Adakah anda terikat dengan dunia hc/punk? Adakah punk telah banyak merubah hidupmu?
J: Aku tak pernah terikat dengan dunia hc/punk. Tidak ada tali yang mengikat aku. Jadi, aku boleh buat apa yang aku suka sama ada ianya punk atau tidak. (jadi ini bermakna aku percaya kepada kebebasan seperti mana soalan nombor 6 kau di atas) Sebenarnya definisi punk itu sendiri berbeza antara satu orang dengan satu orang yang lain. Sesuatu tindakan itu mungkin punk pada sesetengah orang dan mungkin tidak punk pada sesetengah orang yang lainnya. Itu tidak kisahlah. Yang pentingnya kita tahu apa yang kita buat. Adakah punk telah banyak merubah hidup aku? Nak kata banyak tu takde la. Tapi ada la dalam 3 kilo je. Apa yang diajarkan oleh Islam pun aku tak mampu praktikkan 100% sedangkan aku mengaku aku seorang Muslim. Inikan pula benda alah punk ni. Tetapi zaman remaja aku banyak dipengaruhi dengan idea-idea punk, terutama cara aku berfikir. Tetapi ada juga kawan-kawan aku yang cara pemikirannya sama macam aku dan tidak dinafikan ada kawan-kawan yang cara pemikiran mereka bertentangan sama sekali dengan aku. Jadi susah nak cakap sama ada cara berfikir aku ni disebabkan oleh punk atau tidak. Pengalaman dan pemerhatian yang tajam tentang kehidupan pun aku rasa mampu menjadikan seseorang tu berfikir macam seorang punk. Entah kau faham ke tidak apa yang aku cuba sampaikan ni. Tapi takpelah, yang penting asyik. Sebut namaku 3 kali, Bento, Bento, Bento… asyik.

S: Kita tidak mampu menghapuskan kapitalis tetapi kita boleh meminimakannya, kan?
J: Aku setuju dengan kenyataan kau tersebut. Memang susah nak tentang kapitalis secara total. Salah satu caranya ialah dengan meminimakan penggunaan produk mereka. Cari alternatif kalau ada. Kalau boleh buat sendiri, buat sendiri. DIY. Kalau makanan tu terutama sayur-sayuran kita boleh tanam sendiri. Seronok, puashati, jimat dan lebih sihat berbanding sayur kat pasar yang banyak menggunakan bahan kimia. Jadi, cubalah meminimakan penggunaan produk kapitalis setakat mana yang kita mampu dan cuba wujudkan kesedaran di sekeliling kita.

S: Ada tak kawan-kawan bukan hc/punk yang kutuk anda kerana anda terlibat dengan hc/punk?
J: Setahu aku tak ada pula kawan-kawan yang bukan hc/punk kutuk aku kerana aku terlibat dengan hc/punk. Kalau ada pun mungkin tanpa pengetahuan aku atau di belakang aku. Kalau orang dalam scene tu ada la kata aku dan kawan-kawan macam sampah. Kalau aku sayangkan seorang kawan, aku akan jaga persahabatan tu sebaik mungkin, jaga kepercayaan yang diberi, cuba jadi kawan yang terbaik, tolong setakat mana termampu, mengambil berat tentang mereka, cuba memahami mereka dan kalau boleh aku nak masuk dalam kasut mereka. Aku suka tolong selesaikan masalah kawan-kawan. Sekurang-kurangnya dengar masalah mereka. Satu kepuasan yang tidak terbatas bila kita dapat selesaikan masalah kawan-kawan.

S: Baiklah, soalan terakhir, ada pesanan untuk isteri tersayang? Isteri anda tahu penglibatan anda dalam hc/punk?
J: Pesanan untuk isteri tersayang? Tak perlulah aku pesan pada isteri melalui zine ni. Bukan medium yang sesuai. Isteri aku tahu tentang penglibatan aku dalam hc/punk ni sejak awal perkenalan kami dan dia seorang yang berfikiran terbuka. Dia dapat terima aku seadanya.

S: Ok. Itu saja untuk kali ini. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa.Assalamualaikum.
J: Terima kasih di atas kesudian berkongsi pandangan dengan aku.
Kalau ada jarum yang patah
Jangan disimpan di dalam peti
Kalau ada silap dan salah
Jangan di simpan di dalam hati

Pisang emas dibawa berlayar
Masak sebiji di atas peti
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati

Kalau ada sumur di ladang
Boleh saya menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
Boleh kita berjumpa lagi.
Terima kasih Aniq. Waalaikumussalam.

2 comments:

malammalam said...

A//Mince Studio/Infoshop.. aku penah lepak + tidor situ. satu kenangan yang indah. lokasi dekat je ngan masjid. pagi2 bole tgk bot, dan bole makan nasi lepak ikan tenggiri kat medan selera depan astaka. pastu gi tido pulak kat umah fazri.. mmg best.

mula2 masa A//Mince Studio/Infoshop tutup mmg frust jugak. tapi kadang2 kena la hadapi sesuatu yang gelap seperti malam untuk menikmati satu yang cerah seperti siang hari.. indah,kan?

tertutup satu pintu, pasti pintu lain akan terbuka. tertutup pintu maksiat, akan terbuka pintu taubat!

ingin sampaikan salam kepada sek ganu; fazri, nazri, bear, sabri, er.. dah banyak lupa! maaf...

jom makang kepok!

malammalam said...

update la boh!