(i)
Rakyat itu selalu diam,
Tapi ia pencatat dan tidak pernah lupa
Rakyat itu seperti naga
Melingkar dengan berat badan dan diam dalam keheningan sendiri
Tapi pancainderanya tajam
Kuat intuisinya dengan akal budi
Lalu jangan sekali-kali melukakannya
Jangan melukainya berkali-kali
Kerana sekali ia bangkit
Rosaklah segala apa-apa
(ii)
Rakyat itu penyabar
Kerana kesedaran nuraninya yang dalam
Rakyat hanyalah penonton
Segala perbuatan pemimpinnya
Rakyat akan mudah faham
Akan kesalahan pemimpinnya
Kerana ia ular sawa
Ia tetap melingkar diam kerana kenyangnya
Tapi kalau kesalahan itu sudah subur
Dengan sikap keras kepala
Maka lingkaran diamnya pun hilang
Lalu ia pun mengamuk membinasakan dengan mata butanya.
(iii)
Rakyat itu suka menunggu
Rakyat itu adalah gerakan raksasa
Rakyat itu tidak pernah tergesa-gesa
Bertindak apalagi memberontak
Ketika rakyat sambil menunggu
Ia pun menilai
Penilaian rakyat selalunya benar
Hati nuraninya bersih tuntas
Kerana sabar menunggu
Rakyat pun menjadi peka melihat peluang
Rakyat selalu mengerti tentang suasana.
(iv)
Rakyat selalu menunggu peluang
Bila terjadi amat menakutkan
Ia tidak mudah berhenti
Tidak pula mudah dijinakkan
Rakyat tidak mudah puas
Rakyat itu orang yang berhati-hati
Menaruh kepercayaan
Maka janganlah menipu rakyat
Maka janganlah membohongi rakyat
Jangan sekali-kali munafikDan jangan berbuat bodoh di depan rakyat.
No comments:
Post a Comment