Dengan lidah terbakar ku suarakan keresahan

Saturday, November 01, 2008

Si Mulia Yang Tak Mulia

Namaku Karim
Orang memanggilku Cikgu Karim
Karim itu ertinya mulia
Tapi aku tidak mulia
Semua kesalahan aku punya
Semua kebaikan orang lain punya
Nasib...… nasib…
Nama itu menggambarkan tuan punya
Tapi aku?
Nasib……...… nasib

Apa guna ilmu kalau tak diguna
Tapi ilmu di buku, bukan di dada
Belek saja bila nak guna
Apa susah, buku dimana-mana pun ada

Aku diajar A, B, C
Bukannya C, B, A
Semua itu songsang kata mereka
Buat begini, bukan begitu
Tapi mereka masih buat begitu
Manusia pun ikut resmi ketam
Kuman di seberang diteropong
Gajah di depan mata puas menari
Tak nampak juga
Aku juga sebahagian dari mereka barangkali
Apa nak buat, manusia itu asalnya lupa
Yang salah aku juga…

Falsafah dijunjung, etika digendong
Neck tie di leher terikat kemas
Betapalah lambang diri diikat
Tapi aku manusia, bukannya kerbau
Yang dicucuk hidungnya, diikat lehernya
“Kamu semua jumud, lesu minda,
Taklid membuta tuli, takut pula membuat bid’'ah
Ortodoks!”
Ya… yang jumud itu aku
Yang taklid itu aku
Semuanya aku
Memang betul KBKK diajar
Tapi no critis, no critics
Ah… sudah!

“Selamat datang cikgu
Kami mengalu-alukan kedatangan cikgu
Besar tapak tangan nyiru kami tadahkan
Bilik koperasi, pusat sumber,
Bendahari PIBG, semuanya masih kosong
Kami sediakan khas untuk cikgu”
Begitulah, betapa aku disambut dengan meriah

Setahun,… dua tahun berlalu
Ilmu masih dibuku, bukan di dadaku
Berat mata memandang, berat lagi bahuku memikul
Bahu kiri tinggi, bahu kanan rendah
Masakan tidak, semua kredit milik
Pengetua dan sekolah
Guru-guru punca masalah
Memang berat sebelah
Tidak sedar yang kita berpenat lelah

Ibu tua datang, "“Anakku tidak pernah tidak lulus
Kini ke sekolahpun tidak mahu
Apa yang sudah berlaku?
Tidakkah ini salah guru?"
Ibu muda dating, "“Anakku dulunya baik
Tak mungkin dia membuat aib
Aku ini orang bisnes, saham turun naik
Buat kerja sampai overnight
You yang harus menjaga anakku baik-baik"

Masalah itu hidup
Cabaran itu makanan untuk hidup
Telankan saja cabaran-cabaran itu
Muntahkan dalam bentuk idea baru

Tuhan itu adil
Ada susah, pasti ada senang
Asal saja ikhlas
Pasti hidup aman tenteram

Namaku Karim
Cikgu besar Karim
Karim itu mulia
Masyarakat pun menyanjungku
Tapi aku tidak mulia
Aku cuma hamba Yang Maha Mulia
Abdul Karim.

** KBKK = Kemahiran Berfikir secara Kreatif dan Kritis
***Pernah disiarkan dalam DRSA 7. Sesiapa yang telah membacanya sila abaikan.

No comments: