Dengan lidah terbakar ku suarakan keresahan

Tuesday, September 04, 2012

Mosh interview DRSA


Hari tu Nizang ada interview aku bagi pihak DRSA zine untuk dan telah dimuatkan dalam zinenya Mosh #15. Dia tanya aku kot dalam BI, tapi aku jawab kot dalam BM supaya mudah dan aku senang aku menjawab sesuka hati tanpa membelek kamus atau bimbang salah nahu. Nasiblah. Baik, bacalah kalau aberani (= ada berani. tak, sebenarnya aku tersalah taip dan malas nak delet a tu).

1.       Do introduce yourself to the readers.
Fazri bin Mohd telah dilahirkan lebih 30 tahun yang lalu di Kampung Banggol Limau, sebuah kampung kecil di daerah Kuala Terengganu. Orangnya tidak bercakap banyak kerana terpengaruh dengan album Propagandhi – less talk, more rock. Bermuka bengis kerana terpengaruh dengan satu artwork pada kulit album Carburetor Dung, Songs For Friends, yang ada kata-kata “I’m calm”. Dengan ketinggian sederhana, seiring dengan purata ketinggian rakyat Malaysia, dan berkulit gelap, serta kurus, standard baka keluarga. Sekarang tinggal di Dungun, Terengganu. Bertugas sebagai cikgu kerana ingin menafikan tanggapan ramai bahawa cikgu selalunya bercakap banyak.

Pada penghujung tahun 90-an, memulakan sebuah zine yang diberi nama DRSA sehinggalah ke tahun lepas, 2011. Sempat mengeluarkan 12 isu sahaja (itupun setelah mengelat sedikit). Pada masa yang lebih kurang sama, turut menjalankan Ronin Distro/Record bersama adik, yang kemudiannya dijalankan secara kolektif, untuk kolektif Community Coalition. Pada tahun 2000, menubuhkan band Karut bersama kawan-kawan, tapi tak bertahan lama. Cuma sempat mengeluarkan split tape dengan band seangkatan – Strict Tease. Seterusnya, dengan muka tak malu join band Kasih Sayang. Kemudian dijemput menyertai band Inikah Hidup.

2.       Why do you use the name Dok Rok Skepeng Abuk for your zine. It has a negative meaning, but the zine is good? Shouldn’t we be more positive towards our products/work especially in the DIY scene?
Sebuah zine mesti ada nama. Jadi, DRSA dipilih kerana terpengaruh dengan nama band DPSA. Secara jujurnya, masa tu aku langsung tak terfikir tentang maksud negative atau positif. Yang penting ada nama untuk dipanggil. Itu sahaja. Betul juga kata mung, nama sepatutnya positif, sebab ia semacam doa. Terutamanya nama orang. Nama perniagaan pun sama. Seharusnya membawa maksud yang elok.

Tapi bagi buku atau majalah atau zine (selepas ini disebut buku sahaja) mungkin boleh diberi sedikit kelonggaran atau pengecualian.Sebab pada aku, yang penting bagi sebuah buku ialah mesej yang hendak disampaikan, cerita yang hendak dikongsikan.Kalau kita nak ceritakan tentang sesuatu yang negative, takkan kita nak letak nama atau tajuk yang indah-indah. Contohnya buku Shit karangan sasterawan Negara Shahnon Ahmad. Seorang sasterawan Negara dengan selamba menggunakan perkataan ‘tahi’ untuk tajuk bukunya. Sebab dia memang nak menceritakan pasal tahi. Jadi, tak ada masalah. Begitu juga dengan Kohong, nama blog aku (yang buat sekarang ni katanya expired atau kenapa entah tak boleh buka. Ada sesiapa boleh tolong betulkan?). Memang sengaja aku pilih satu perkataan yang sebegitu busuk, yang negatif (walaupun tak semua menceritakan pasal kebusukan). Sebab aku nak beritahu bahawa dalam dunia ni bukannya yang sedap-sedap, yang elok-elok sahaja yang ada. Yang buruk pun banyak. Silap-silap dalam sesetengah hal, yang buruk lebih banyak daripada yang baik. Dan mungkin ini boleh dibuat pengajaran.

Namun, boleh juga tajuk diberi dengan menggunakan pendekatan sarkastik. Orang kampung aku panggil ‘menganjing’. Itu semua bergantung pula dengan tafsiran pembaca. Jadi, anggaplah sahaja DRSA tu satu istilah penganjingan. Haha. Orang tua-tua kita dulu banyak guna sindiran, kan? Teringat aku dengan satu… er… peribahasa ke… ‘pukul anak, sindir menantu’. Menarik.

3.       What/who influenced or motivated you to start your zine? And what influenced and motivated you to keep on publishing until issue 12?
Baik, aku memang terpengaruh dengan Pang Zine #2. Itu zine pertama yang aku baca. Aku lupa aku beli kat mana. Kalau bukan di Kedai Kaset GPJ milik Ghani, ianya mesti dibeli di studio MOM milik Ku Yie. (betulkan ejaan tu kalu saloh). Masa tu, aku tak sangka ada bahan bacaan dalam underground, yang mengangkat isu-isu yang tak banyak atau tidak sama sekali dibicarakan dalam media-media arus perdana. Sexisme, rasisme, fascism – aku yakin kawan-kawan bukan underground tak tahu pasal tu pada masa tu. Banyak benda baru yang aku dapat. Kalau boleh aku katakan ianya membuka mata aku. Kemudian aku baca Suffer Age zine. Seterusnya pula kawan aku, Allayarham Syukrie buat zine Chaos PS. Lalu terdetik dalam hati aku, kalau dia boleh buat zine, aku rasa aku pun boleh buat. Jadi, aku cuba buat. Dan hasilnya… nah, DRSA.

Apa yang memotivasikan aku sehingga lahir isu ke 12? Yang pertamanya ialah minat atau passion. Walaupun ia ada waktu pasang-surut, tapi aku percaya kalau tak ada passion, DRSA takkan bertahan sampai ke tahap tu. Kawan-kawan yang senantiasa menerbitkan isu-isu terbaru zine mereka juga memberi semangat pada aku untuk meneruskan zine ini. Ini termasuklah mung, Nizang dan Mosh. Terima kasih.

4.       You’ve interviewed a lot of bands and individuals in DRSA. Give us the top 5 favorite interviews from DRSA and why you like these interview sessions?
Ah, ini aku kena belek balik semua isu DRSA nih. Sudah tentu aku suka interview yang dijawab dengan panjang lebar dan mendalam. Kita tak kata yang semua jawapan mereka betul atau salah, atau kita setuju atau tidak setuju. Yang penting aku suka baca pendapat mereka, yang kadang-kadang kita tak terfikir. Kalau interview dengan band, aku mengharapkan setiap ahli band dapat jawab sendiri-sendiri. Sebab aku suka pandangan yang pelbagai.

5.       Which issues are your favorite and also the least favorite? And why?
Kalau kena pilih juga satu isu yang paling aku suka, aku rasa aku nak pilih isu ke-7. Walaupun isu ini tak tebal, kulitnya pun pakai kertas A4 biasa je dan tak banyak terjual atau diedar, tapi bagi aku ini isu kebangkitan semula DRSA. Untuk menjawab soalan ni, aku tak bandingkan DRSA mahupun isi perutnya dengan zine lain, sebaliknya dengan isu-isu lain DRSA. Setelah sekian lama menyepi, lebih kurang 4 tahun akhirnya ia hadir lagi. Walaupun sebenarnya aku dah berniat nak matikan DRSA. Jadi, untuk isu ini, kawan-kawan sangat memainkan peranan. Maksud aku, kawan-kawan yang mengeluarkan isu-isu terbaru zine mereka pada masa itu. Aku jadi kembali bersemangat.

Aku rasa aku juga melakukan transformasi untuk isu ini.Yang paling nyata daripada menggunakan Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu. Juga dari segi isi perutnya pun. Tak ada interview. Aku masukkan apa saja ikut suka aku, yang tak pernah aku masukkan sebelum ini. Aku tak nak cerita secara panjang lebar pasal isinya. Aku tinggalkan untuk pembaca mencari apa yang aku maksudkan.

Dan isu yang paling tak best bagi aku ialah isu terakhir, isu ke-12. Sebab tu aku matikan DRSA pada angka ke-12 ini. Bukan tak best dari segi pengisiannya. Tapi, itu perasaan yang aku rasa setelah menyiapkan isu ini. Tak tahu kenapa. Tiba-tiba passionnya semakin hilang. Rasa semakin tak pandai menulis. Rasa suram je. Entahlah. Biarlah ia kekal misteri.


6.       Do your family members (parents, wife, kids) know about your zine publishing and hardcore punk activities and what are their reactions towards it?
Dulu masa aku tinggal dengan orang tua, mereka tahu aku minat muzik bising. Aku rasa mereka Cuma labelkan itu sebagai muzik rock. Mulanya mereka memang bising juga bila aku asyik dengar muzik yang membingitkan telinga. Tapi lama-lama mungkin mereka sendiri dah lali. Aku rasa mereka tak tahu pasal aku buat zine. Begitu juga dengan aktiviti hardcore punk. Aku rasa mereka meletakkan kepercayaan kepada anak-anak mereka. Tapi mereka serta kakak-kakak aku memang tahu pasal aktiviti free food serta pembahagian pakaian kepada keluarga yang memerlukan. Sudah tentu mereka tidak menghalang, malah memberi sokongan setakat termampu. Tapi kalau mereka tahu aku organize gig, aku rasa mereka tak bersetuju.

Food Not Bomb Kuala Lumpur telah menyatukan aku dan isteriku. Aku pertama kali terpandang isteriku di tepi longkang, tepi jalan berhampiran Muzium Bukit Nenas, KL semasa serving FNB. Tapi, sekadar pandang je la. Arghh… takkan aku nak cerita kisah selanjutnya. Baik, jadi bila dia sendiri (sebelum kenal aku) pernah terlibat dengan FNB, secara tak langsung dia tahu serba sedikit latar belakang ‘orang-orang macam kita’, muzik yang kita minati, arah perjuangan, serta aktiviti-aktiviti yang lainnya. Jadi, aku rasa she’s okay with it. Sebab tu dia sudi berkawan dengan aku dan akhirnya menerima aku sebagai suami. Dan selepas berkahwin pun tak ada tanda-tanda dia menghalang apa yang aku buat. Aku rasa dia hormati apa yang aku buat sebagaimana aku kena hormati apa yang dia minat (dengan keutamaan yang perlu kami dahuluilah). Aku pernah memberikan zine kepadanya sebelum aku kahwin. Jadi, pada asasnya memang dia dah tahu segala-galanya pasal aktiviti aku sebelum kahwin. Jadi, aku rasa tak ada masalah. Malah kami sekeluarga (isteri dan anak) pernah bersama-sama menyertai aktiviti kolektif Human First semasa pembahagian pakaian percuma dan dia turut memberikan tuisyen free kepada anak-anak kampung semasa serving berkenaan.

Anak-anak pula masih kecil. Mereka tidak memahaminya lagi. Maaf kerana terlalu banyak ‘aku rasa’ dalam soalan ni. Aku memang macam tu kot. Lebih selesa dengan ‘go with the flow’. Kena pandai ikut situasilah kot.

7.       Do any of your students know about your zine or have any of them read it? If yes, what are their reactions towards this activity and yourself? Do you want them to know and read your zine?
8.       Do your students know about you playing in hardcore punk bands and what are their reactions towards it?
Aku rasa aku gabungkanlah soalan 7 dan 8 untuk memudahkan aku menjawab. J. Memang ada pelajar yang tahu tentang aktiviti punk aku. Seawal tahun 2004 – iaitu tahun pertama aku bertugas, dah ada yang tau aku ada band. Ada yang bawak kaset Kasih Sayang dan zine DRSA ke sekolah (dan kantoi dengan aku). Bangga apa dapat bawak kaset dan zine cikgu ke sekolah. Kawan-kawan lain tak ada pun. Mungkin itu perasaan mereka. Mungkin sebab masa tu aku selalu lepak dekat sebuah studio di situ – Moshpit Studio. Dan kaset serta zine tadi ada dijual di situ.

Tapi kemuncaknya dua tahun lepas, yakni batch SPM 2011. Kali ini mungkin akibat ledakan internet. Klip video KS masa main dekat Cherating ada dekat youtube. Siap focus muka aku masa beri penerangan tentang lagu yang hendak dimainkan. Ah, persis dalam kelas. Malu betul menontonnya. Haha. Jadi, ada puak-puak yang tahu tentang aku. Dan ada yang mencarigali untuk mengetahui lebih lagi tentang aku. Cuma tak ada yang berani Tanya secara bersemuka. Mungkin sebab muka aku ni macam pembunuh upahan. Lebih teruk, siap ada yang menyabitkan (atau mensabitkan?) nama aku kepada bapanya. Sehingga bapa tersebut datang berjumpa dengan aku di sekolah. Ah, semua ini menjadi sejarah dan kenangan dalam hidup aku. Sekarang ini, mereka semua dah jadi sebahagian daripada kawan-kawan aku. Selalu beraktiviti bersama.

Aku ada hadiahkan cd dan newsletter kepada pelajar. Ada satu tahun tu, aku janji kepada pelajar, kalau dapat mencapai target aku dalam peperiksaan, aku akan hadiahkan cd. Alhamdulillah mereka Berjaya. Aku hadiahkan mereka cd Bollok Wok vol 3 dan cd Inikah Hidup. Haha. Aku pernah juga suakan newsletter Ronin Communique kalau tak silap. Sebab kebetulan itu je yang ada pada masa tu. Masa tu DRSA dalam tidur yang panjang. Selain itu, aku pernah tayang kan  filem pendek 10 Tahun Sebelum Merdeka. Ini pada tahun 2007. Manakala pada tahun 2010, aku tayangkan filem itu kepada kelas semasa subjek Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan (satu subjek yang aku tak suka ngajo. Haha)

Adakah aku nak pelajar-pelajar aku tahu dan baca zine DRSA? Dalam penyebaran atau penyampaian dakyah/propaganda/dakwah, ada cara terang-terangan dan juga tertutup bergantung kepada keadaan, masa dan kelompok, seperti mana yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW. Para pelajar, seperti mana juga sebahagian besar masyarakat skeptical terhadap perkataan punk yang biasa terkandung dalam zine-zine. Jadi, aku tak rasa nak syarah pasal punk dalam kelas. Malah, nak tunjuk, ini zine, dalam kelas pun aku rasa tak sesuai. Lebih baik aku tunjukkan attitude aku, cara aku menangani sesuatu, walaupun tak semuanya betul. Bagi pelajar yang minat muzik bising, atau yang sememangnya minat muzik punk/hardcore, mereka lebih terbuka untuk menerima zine. Tapi yang tak minat muzik pun ada potensi juga untuk disogokkan dengan zine. Terutamanya yang kita kenal agak rapat. Sebab kita boleh agak yang mana terbuka, yang mana tak. Ada seorang pelajar perempuan yang memang aku sogok beberapa isu DRSA. Malah buku Punk Rock pun aku hadiahkan pada dia. Dia taklah menunjukkan minat dalam erti kata ‘nak jadi punk’. Tapi cukup dengan dia tahu apa itu punk, apa yang aku buat.  Sekurang-kurangnya dia dapat maklumat yang sebenar. Dia nak terima atau tidak, itu terpulang.

Walau bagaimanapun, batch SPM 2011 memang terbaik setakat ni. Anda tahu siapa anda. Ada satu kelas tu, hampir semua tahu tentang aku. Tak kira lelaki atau perempuan. Dan mereka memang cool. Dekat di hati. Ada yang buat band. Ada yang berminat nak menulis. Kalau ada di kalangan mereka yang membaca interview ni, teruskanlah dengan apa yang anda percaya.

  9.       Please share with us 5 of the local zines and bands that you find inspiring/interesting/unique and the reasons you like them.
Ahh, ini soalan yang paling aku tak suka. Takut ada yang kecik hati. Maklumlah, manusia ni ingatannya terbatas. Selalu lupa. Tapi, aku cuba jugalah untuk tidak menghampakan Nizang. Yang tak tersenarai tu jangan kecil hati. Aku lupa lah tu. Haha.

Baik, ini secara personal ye. Pang/Pangcore kerana ini zine yang mula-mula aku baca dan memberi inspirasi untuk aku turut menghasilkan zine. Masked Reader kerana peningkatan demi peningkatan untuk setiap isu. Semakin best dari segi persembahan dan penyampaian penulisan. Mosh kerana banyak memberi input tentang band-band terkini dan aktiviti-aktiviti yang aku tak terikuti, Conscious kerana penulisan dan penceritaan Bend yang sangat menarik. Dan tidak ketinggalan Roots kerana keberaniannnya menceritakan apa sahaja yang terlintas di mindanya, tak kira apa. Cukup 5 sebagai contoh.

  
10.   Future plan and anything to add? Thank you.
Aku tak berniat nak terus berhenti menulis walaupun aku rasa aku semakin tak pandai menulis. Namun, tak ada perancangan khusus juga. Oh, ada satu. Aku nak hasilkan kalau boleh aku katakan buku (macam poyo pula) tentang band Kasih Sayang. Dah bertahun-tahun jugak kami rancang. Sampaikan ada di kalangan kami yang dah jaded. Mula-mulanya kami rancang nak buat booklet je, tapi lebih tebal daripada album Spoon-feeding the Nation. Tapi aku tengok-tengok macam ada banyak benda yang boleh dimasukkan. Tapi progresnya sangat slow. Tak tahulah bila boleh siap. Kemudian, geng-geng Dungun Today nak buat versi cetak. Harap menjadi kenyataan. Selain daripada itu, tak ada perancangan yang khusus. Angan-angan tu ada lah. Tapi malu nak bagitau orang. Takut jadi macam Mat Jenin.

Seterusnya sama-samalah kita cuba perbaiki diri kita sedikit demi sedikit. Nasihat-menasihati, tegur-menegur. Bukan nak tunggu diri kita sempurna baru kita nak tegur orang. Pada aku, bila kita tegur orang, secara tak langsung kita juga tegur dan mengingatkan diri kita. Jalani apa yang kita percaya. Tak perlu nak ikut orang secara buta-tuli.

Semoga Mosh dan apa sahaja yang mung buat ni berterusan. Selamat maju jaya.  Maaf kerana aku jawab kot BM sebab terus terang, aku tak pandai sangat BI. Kalau aku jawab kot BI mungkin aku tak mampu nak elaborate jawapan aku sebegini atau mengambil masa yang lama untuk aku menyiapkan interview ini. Dan terima kasih kerana sudi interview. Bagi sesiapa yang nak berkomunikasi dengan apa sahaja tujuan, bolehlah emel ke drsa@rocketmail.com. Sekian. 

No comments: